Selamat Datang Ke Ruang Suara Hati...

tuhan akan sentiasa memberi apa yang kita perlukan bukan apa yang kita mahukan...jadi, bersyukurlah dengan apa yang ada dalam diri kalian kerana segalanya adalah yang terbaik yang dikurniakan kepada kita....

Tuesday, January 4, 2011

sekali lagi bersama


Sesungguhnya, rindu itu pengubat luka. Andai luka perlu dirawat, maka rindu itu penyembuhnya. Untuk itu, aku pulang kembali kerana rindu juga memerlukan ubatnya. Luka, rindu...ahhh...semuanya perlukan penawar. Andai luka, ubatnya rindu...rindu ubatnya apa? Tentulah pertemuan. Aku pulang kembali demi merawat rindu yang terlalu mendalam kepada Raisya Raihana anakku. Luka itu, biarlah ianya di situ. Akankah ia menjadi parut kenangan atau menjadi nanah dendam, tiada siapa pun yang tahu. Biarlah takdir yang menentukan. Rindu ini perlu terlerai. Tapi...bagaimana?

Aku menunggu di lapangan terbang ini. Menunggu untuk dijemput kakakku dan ahli keluargaku yang lain untuk pulang ke rumah. Semoga mereka tidak terkejut melihat anakku yang ketiga ini yang tidak pernah diketahui kewujudannya. Terasa bahuku di sapa lembut dari belakang. Wajah Kak Marissa, suaminya Abang Hambali dan anak-anaknya menerpa mataku. Kak Marissa memelukku dan aku memeluknya dengan erat. Terasa rindu ini begitu mendalam terhadapnya. Airmata panas menuruni pipi. Airmata rindu dan airmata kasih sama seiring membasahi wajahku dan wajah Kak Marissa.

“Sara....anak siapa ni?” lidah ku kelu untuk menjawab soalan itu. Kak Marissa lantas meneka dan aku membenarkan tekaannya. Ya, tidak sukar untuk meneka anak siapakah ini. Tentunya anak aku, Maisara binti Hamzah!

......................................................................................................................................................

Pohon-pohon menghijau seakan melambai lambai ke arahku. Rindu kepada tanah air dan rindu pada kampung halaman telah terubat dengan melihat cuacanya dan suasananya disini. Kak Marissa riuh bercerita tentang Malaysia yang sudah lama aku tinggalkan sepanjang perjalanan kami pulang ke kampung.

Kami tiba di kampung ini agak lewat. Hampir masuk isyak barulah kami tiba. Mujur sahaja kami sempat sembahyang maghrib di perhentian tadi. Kaki ku sedikit menggigil ketika ia diturunkan ke tanah. Sayu hatiku menerpa. Kasihan kepada anakku Rayyan Haziq yang membesar tanpa ayahnya. Ayah? Ahhh...sesak dadaku memikirkan ayahnya...

Ibu memelukku erat tatkala aku melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Aku terlihat airmatanya menitis laju sambil memeluk cucunya yang baru dia kenali setelah hampir empat tahun dia dilahirkan. Kak Maria dan Kak Marina masing-masing memandang wajahku dengan rindu. Tapi aku tahu, di dalam hati mereka tentunya ada rasa tidak puas hati kerana aku menyembunyikan anakku dari pengetahuan mereka. aku tahu mereka terkilan. Tapi aku? Rasa hatiku bagaimana?

......................................................................................................................................................

Keesokkan harinya, Kak Maria mengajakku berbual di atas pangkin. Pagi itu begitu damai. Rayyan Haziq sudah lama menghilang bermain bersama sepupunya yang sudahpun meningkat alam remaja. Anak-anak Kak Maria dan Kak Marina seronok bermain dengan Rayyan Haziq. Kebetulan, Kak Marissa juga mempunyai seorang anak sebaya dengan anakku. Jadi riuhlah rumah ibu dengan keletah cucunya yang ramai memeriahkan suasana.

Kesemua kakakku duduk bersamaku di atas pangkin yang dibina di bawah pohon rambutan ini. Mereka semua memandangku semacam. Aku tahu apa yang mereka mahukan. Mereka mahukan penjelasan yang kukuh. Aku mengeluh perlahan.

“Sara, kamu lahirkan Rayyan Haziq di mana? Bila? Kenapa tak pernah bagitahu akak pasal Rayyan Haziq?” Kak Maria terus menerjah. Mungkin dia sendiri pun rimas agaknya menunggu untuk berbicara dengan aku dari semalam.

“Saya lahirkan dia di luar negara kak...” Sungguh, aku takut untuk berhadapan dengan kakak2 ku yang garang-garang belaka ini.

Apa..!!! kenapa kitorang semua tak pernah tahu kau lahirkan dia? Sampai hati kau dik...Kau tak kesiankan anak kau ke? Lahir takde orang yang menyambutnya?! ” Kesian? Apakah Kak Marina tidak kasihankan diriku ini? Melahirkan anak seorang diri?

“ Haihh.. akak tak tahu nak cakap apa... Zafran tahu pasal Haziq? ” Zafran? Nama lelaki itu sudah lama aku buang dari hidupku. Tapi apakan daya. Kesemua anakku berbapakan dia. Walau apapun yang cuba aku lakukan, aku masih dihantui dengan nama dia di belakang nama anak-anakku. Pertanyaan Kak Marissa tadi hanya aku jawab dengan gelengan.

“Astaghfirullahalazim....itukan bapanya? Kenapa kau tak bagitahu dik... sudahlah empat tahun tak balik-balik. Anak kau yang Zafran jaga rindukan kau. Kau tak rindukan anak sendirikah sampaikan bertahun lamanya baru nak balik?” Kak Marina mengerutkan dahinya. Apakah dia tidak mengerti? Bisakah seorang ibu melupai anaknya biarpun berjauhan? Sudah tentu ibu rindukan kau, anakku....airmataku menitis. Entah mengapa Kak Marina terlalu suka memberikan soalan yang menekan perasaan seperti ini.

“Akak pun tahu kenapa saya larikan diri ke luar negara. Saya tak mampu untuk berada di Malaysia bila saya terfikir saya akan jumpa balik dengn Zafran. Saya tak mampu untuk berhadapan dengan dia sebab tu saya tak balik.” Sungguh, aku tidak mahu berbicara lagi. Kerana air mataku akan menitis. Aku tidak mahu menangis di sini!

“Eh Sara, bukan tak boleh kau balik ke Malaysia ni. Apa salahnya kau balik jenguk anak sendiri? Apsal pula kau tak mahu berhadapan dengan dia? Malu? Sebab kau curang dengan dia dulu?” Kak Maria sengaja menanyakan soalan yang menyakitkan hati seperti ini. Sememangnya dari dulu tidak ada insan yang mahu membela aku. Semuanya akan meletakkan kesalahan di bahu aku ini. Sehingga kini aku masih terasa bayangan kesedihan empat tahun lalu. Deritanya hati ini ingin melupakan tiada siapa yang ambil peduli.

“Akak masih nak salahkan saya? Akak masih percaya saya yang bersalah?” Airmataku gugur dengan laju. Aku menyeka airmataku lalu mengangkat punggung dan berlalu pergi dari situ. Bengkak hatiku dengan kata-kata itu. Aku curang? Aku atau Zafran? Mungkin aku bersalah. Tapi aku tak curang. Aku tak pernah curang!

.....................................................................................................................................................

Aku menetap semula di Kuala Lumpur setelah lama aku tidak menjejakkan kaki di sini. Aku meneruskan kerjayaku di sini dan aku juga telah memutuskan untuk menghantar anakku Haziq di taska berdekatan dengan rumahku. Kebetulan, kawasan perumahanku berdekatan dengan sekolah rendah. Mudah rasanya aku ingin menyekolahkan Haziq nanti.

Kesibukan kota menenangkan pada pandanganku. Mungkin kerana tiap kali aku pulang ke kampung aku berasa tertekan, maka di kota kelihatan lebih menarik. Stereng kereta aku pulas perlahan ke kiri menuju ke Tadika Cahaya. Aku ingin membawa anakku bersiar-siar petang ini. Terasa rindu pula saat-saat ingin bermanja dengannya. Aku terlalu sibuk belakangan ini. Perut ku juga selalu sahaja pedih malah sakitnya mencucuk-cucuk. Masuk angin agaknya. Ataupun kerana aku sendiri menghidap gastric.

Aku membawa Haziq bersiar-siar di taman. Aku memimpin tangannya menuju ke sebuah bangku berdekatan dengan buaian tempat anak-anak kecil di sini bermain dengan riangnya. Haziq tangannya aku lepaskan. Biarlah dia bermain di buaian sendirian bersama kanak-kanak lain. Sengaja aku tidak mahu mengganggu dunia kanak-kanaknya. Haziq sendiri mudah mesra dengan orang lain. Baru sahaja aku membawanya di situ, dia sudah pandai mencari teman bermain.

Telefon bimbitku berdering. Kak Marissa menelefonku. Aku menjawab panggilan itu.

“ Sara, Zafran ada di rumah akak sekarang. Dia bertanyakan kau. Akak nak jawab apa ni?” mujurlah kak Marissa masih ada rasa hormat padaku sebagai adiknya.

“Zafran ada di rumah akak? Err..Raisya pun ada skali?” aku terlalu rindu akan anakku. Di telingaku bagaikan dapat menangkap bunyi suasana anak-anak bermain di rumah kak Marissa. Pasti salah satu dari suara itu suara anakku. Oh, aku rindukan Raisya! Sebak mengisi dadaku sekali lagi.

“Ada kat sini. Sara...datanglah sini jumpa Zafran dan Raisya. Betulkan keadaan yang tak betul dulu tu kalau benar kau tak bersalah. Minta ampun pada Zafran dik..” minta ampun? Kalau aku minta ampun bermakna aku yang bersalah. Permainan apakah yang ingin kak Marissa tunjukkan ini? Atau akukah yang terlalu ego untuk memohon maaf?

“Saya cuma nak mintak tolong dengan akak satu je. Kalaupun dia bertanya apa-apa tentang saya, tolong jangan bagitahu dia dimana tempat tinggal saya sekarang.” Sungguh, aku masih belum bersedia untuk menemuinya.

“Dan....” aku terdiam sebentar. Berfikir-fikir bagaimana mahu meneruskan ayat seterusnya.

“ Akak jawablah apa pun yang dia tanya…tapi tolong jangan beritahu dia tentang Haziq.... please kak...” Kak Marissa terpaksa menurut permintaanku. Aku percayakan Kak Marissa. Aku tahu dia mengerti bahawa aku memerlukan masa dan ruang untuk bersemuka dengan Zafran.

Talian telefon aku matikan. Aku dengan segera menoleh ke belakang mencari Haziq. Aku melihat Haziq sedang berkejaran dengan teman-temannya.

“Ibu!!”

Suara jeritan si anak yang memanggil-manggil ibunya kedengaran begitu kuat di pendengaran ku. Anak ibu! Aku berlari sepantas yang boleh untuk mendapatkan anakku. Kakinya terseliuh malah lututnya berdarah. Aku mendakap anakku erat demi meredakan tangisannya lalu aku mencempung tubuhnya menuju ke kereta. Aku harus membawanya ke klinik secepat mungkin.

......................................................................................................................................................

Lutut anakku telahpun diubati. Esakannya masih kedengaran meskipun kelopak matanya semakin memberat. Aku mendodoinya perlahan. Haziq sudahpun melelapkan matanya. Aku bangun dari katil anakku itu dan berlalu menuju ke bilikku. Di dalam bilik, aku tidak mampu untuk melelapkan mata. Teringatkan panggilan telefon dari Kak Marissa siang tadi. Zafran mencariku? Untuk apa? Bukankah di antara kami sudah berakhir segalanya kini? Kenangan aku dan Zafran menerpa minda lagi.

Aku dan Zafran bernikah atas dasar yang amat kukuh. Suka sama suka. Saling mencintai. Tidak pernah aku berjumpa dengan lelaki sebaiknya. Penyayang dan penyabar. Tidak pernah sekalipun dalam empat tahun melayari bahtera dengannya aku menerima tengkingan. Tidak pernah. Aku tidak pernah melihat dirinya marah.

Di dalam sifatnya yang aku sangkakan penyabar itu, ada sifat buruk yang tersimpan. Dia terlalu suka memendam rasa hingga aku tidak tahu perasaannya. Dan kerana tidak pernah bergaduh, aku tidak tahu apa yang dia tidak suka tentang diri ini. Semuanya dia diamkan. Semua kesalahan diri ini tidak aku sedari sepanjang perkahwinan kami. Tiga tahun aku bahagia di sisinya kerana dia amat memahami jiwa wanitaku.

Sehinggalah pada suatu hari, selepas beberapa hari menyambut hari kelahiran Raisya Raihana yang ke-dua, aku menerima seorang majikan baru yang muda berumur lingkungan 30an di tempat kerjaku. Majikanku sebelum ini seorang lelaki tua yang bergelar Datuk di pangkal namanya. Setelah dia bersara, anaknya mengambil alih posisinya di dalam syarikat itu.

Malang bagiku, anak Datuk yang kaya raya ini meminatiku dalam diam. Mulanya aku buat tak endah hingga lama kelamaan dia semakin berani mengganggu ku sampai aku di rumah pun dia masih lagi mahu menaikkan bibit-bibit pergaduhan antara aku dan Zafran. Mungkin salahku juga kerana tidak berkeras dari mula. Hazlami adalah punca keretakan rumah tanggaku dengan Zafran.

Dalam masa yang sama pula, aku keliru dengan cinta Zafran. Zafran juga tidak kurang hebatnya dibandingkan dengan Hazlami. Zafran merupakan seorang CEO di syarikat milik ayahnya. Aku mula keliru dengan cintanya apabila Hayati, pengurus kewangan syarikat kelihatan begitu mesra dengan Zafran di mataku. Apabila aku dituduh curang, sudah tentu aku melenting sedangkan Zafran pun tiada bezanya dengan aku. Tidak ada bezanya Hayati dan Hazlami. Mereka kedua-duanya pemusnah rumah tanggaku.!

Di situlah aku melihat perwatakan sebenar Zafran. Seorang penyabar dan penyayang yang amat aku cintai mula menunjukkan sifat negatifnya yang selama ini halimunan di mataku. Dia mula menjauhkan diri dan melayan aku tak ubah seperti patung cendana di rumah itu. Tiada lagi bisikan romantisnya untukku. Wajahnya tidak lagi dihiasi senyuman. Luahan perasaannya yang penuh dengan ungkitan menyakitkan hatiku setiap hari. Perasaanku terdera dengan sifatnya begitu.

Aku akhirnya memutuskan...setelah kejadian itu berlaku, biarlah bahtera ini karam di lautan. Aku sendiri tidak sanggup lagi menderita di alam perkahwinan ini dengan tidak dipedulikan setiap masa. Zafran juga seperti tidak sabar-sabar mahu melepaskan aku dari ikatan perkahwinan itu. Mungkin cintanya sudah hilang... airmataku menitis lagi mengingatkan cintaku padanya terlalu dalam hingga ke hari ini.

......................................................................................................................................................

Beg-beg berisi barangan kraftangan yang baru aku beli dari kedai cenderamata itu aku kutip satu persatu. Semuanya aku beli buat teman-teman aku di Australia yang setia menemaniku di sana. Haziq merengek-rengek lapar. Aku tahu dia letih menemaniku membeli kesemua barang-barang ini.

Tanpa disangka-sangka, ada suara yang memanggil namaku dari belakang. Aku terkejut saat satu suara menegurku. Suara yang sudah lama aku tidak dengari. Terdengar suara itu, aku kelu. Kakiku tidak mampu melangkah. Aku tidak mampu bergerak. Haziq di dalam dukunganku merengek-rengek sedangkan aku terus keras di tempat aku berdiri.

“ Maisara..” sudah dua kali dia menyebut namaku. Aku membuat keputusan untuk tidak mengendahkan. Baru sahaja aku ingin melangkah pergi, dia menyambung katanya.

“Boleh kita berbual sekejap?” aku memalingkan badanku ke belakang. Aku tahu sudah terlambat untukku melarikan diri.

“ Boleh.” Aku mengangguk perlahan. Terasa diri ini lemah bila berhadapan dengan Zafran. Haziq di dukunganku mula merengek sekali lagi. Aku mula hilang sabar dengan kerenahnya.

“Haziq tunggu sekejap boleh tak? Ibu nak bawak pergi makan la ni. tak boleh sabar langsung.” Aku melepaskan amarahku pada Haziq. Perangai anakku semakin menjadi-jadi.

“Zafran, kita berbual tak boleh lama ya. Anak saya ni nak berehat.” Zafran hanya mengangguk.

“ Kita duduk dekat sana? Boleh?” Zafran menunjukkan bangku yang terletak berdekatan dengan kedai cenderamata ini. Aku hanya mengangguk sahaja. Aku duduk di sisi Zafran yang kelihatan tenang. Wajahnya sama seperti dulu. Bercermin mata, malah rambutnya masih tak berubah. Aku merenung wajahnya secara curi-curi.

“Jadi nama anak Sara ni Haziq ye?” aku mengangguk. Memikirkan barang-barangku yang banyak, aku meminta diri untuk menghantar barang-barangku ke kereta. Aku meminta bantuan Zafran untuk menjaga Haziq untukku. Sekembalinya aku ke arah Zafran dan Haziq, hatiku berdetak hebat. Risau kalau-kalau Zafran menanyakan yang bukan-bukan kepada Haziq.

“Haziq sayang...umur Haziq berapa?” jantungku berdegup laju. Aku tahu dia mahu memastikan itu anaknya. Sepantasnya Haziq mengangkat empat jari. Zafran memeluk anakku erat.

“Papa...Haziq lapar...” mendengarkan gelaran itu, aku menjadi sebak tiba-tiba. Aku sedar, aku terlalu mementingkan diri sendiri. Haziq memerlukan seorang ayah. Aku sepatutnya menemukan dia dengan ayahnya lama dahulu.

“Abah sayang..bukan papa.” Gelaran abah untuk setiap anak-anakku. Pelukan Zafran begitu kejap.

“Abah...jomlah makan..” Comel benar rupanya begitu. Aku mendekati mereka dan meminta Haziq dari dukungan Zafran. Zafran memandangku tajam.

“Haziq...jom ikut ibu..kita balik sayang.” Zafran melepaskan anakku dari pelukannya lalu menghulurkan Haziq kepadaku.

“Haziq nak makan dengan abah,...” aku tidak mengendahkan rayuan anakku. Aku terus berlalu ingin pergi dari sini. hatiku tidak tenang dengan rayuan Haziq. Langkah kakiku ingin aku lajukan, tapi aku sedar dia mengekoriku. Laju aku melangkah, laju lagi langkahnya. Mungkin menyedari aku takkan berhenti melarikan diri, dia mengeluarkan kata-kata yang akhirnya membuatkan aku berhenti melangkah dengan kata-katanya.

“Kenapa awak tak pernah terangkan hal yang sebenarnya? Kenapa kita mesti jadi macam ni?” airmataku mengalir. Jadi Zafran dah tahu? Kerana itukah dia mencari aku? Sendu tangisku aku tahan.

“Saya.....” aku menelan air liur. Pahit rasanya untukku telan semua ini. Sebak semakin terasa.

“Kita....bukan macam dulu. Dah tiada apa yang perlu diterangkan. Semuanya dah berakhir.” Bukan ini yang aku pinta. Tapi inilah takdir. Bahtera kami karam akhirnya suaraku menjadi serak kerana menahan tangis.

“Maafkan a....sssaya...” aku tahu dia masih ingin menggelar dirinya ‘abang’ seperti dulu-dulu. Aku tahu dia serba salah. Aku tahu...tapi semuanya dah berakhir.

“Saya balik dulu.” Tiba-tiba aku terdengar suara kanak-kanak menangis dengan kuat di telingaku. Rasanya kanak-kanak itu perempuan dan semakin hampir pula. Rasanya di belakangku...tapi..

“ Abah! Mana abah pegi...nape tinggalkan kakak....” tangisnya kedengaran. Zafran membisu sepanjang rungutan anak daranya itu. Ya Allah...rindunya aku pada Raisya. aku teragak-agak untuk melangkah. Haruskah aku menoleh kebelakang?

“Sara...tak nak tengok Raisya?” panggilan itu meluruhkan jantungku. Terlalu banyak kejutan hari ini.. Aku menoleh kebelakang. Tiba-tiba perutku terasa pedih. Dahiku berkerut-kerut menahan sakit. Dalam sakit yang aku tahan, airmata semakin laju menuruni pipi. Haziq aku turunkan dari dukunganku. Aku lantas melutut dihadapan satu-satunya anak daraku ini. Tanganku menarik Raisya dan mendakapnya perlahan. Rindu yang sekian lama aku tahan kini semakin pudar.

Sakit yang mencucuk-cucuk di perutku semakin bertambah pula dengan rindu yang semakin hilang ini. Peluh sejuk menitis di dahi. Aku terus memeluk anakku sebagai sumber kekuatanku untuk menahan kesakitan ini. Dan tiba-tiba...pandanganku menjadi kelam lalu aku tidak sedarkan diri.

..................................................................................................................................................

Aku tersedar dari pembaringanku. Ternyata aku di rumah Zafran. Segera aku bangun dan memakai semula tudungku yang pastinya dibuka oleh Zafran. Aku menolak pintu dan keluar dari bilik ini. Aku tercari-cari anakku. Tapi tiada. Raisya dan Haziq kedua-duanya tidak singgah di mata ini. Aku berjalan lagi di lantai marmar putih yang menampakkan rumah ini lebih luas di pandangan. Mataku tertancap pada seorang pemuda di luar rumah. Pasti itulah Zafran. Zafran kelihatan tenang duduk sendirian di gazebo luar rumahnya. Aku berdehem perlahan dan dia menoleh ke belakang, menatap aku dengan renungan romantisnya sama seperti dahulu.

“ Anak-anak mana? Boleh awak suruh Haziq keluar sekarang? Saya nak balik ni.” aku menyoalnya terus. Sengaja aku berbuat begitu. Tidak mahu lagi berselindung. Aku sememangnya mahu pulang ke rumah segera. Tidak selesa rasanya berdua-duaan begini.

“ Diorang semua tengah tidur.” Tidur? Aku tahu aku harus bangunkan anakku segera. Tapi..bagaimana? kamar beradunya tidak pula aku tahu lokasinya di rumah ini.

“Boleh tolong bangunkan Rayyan Haziq? Saya nak balik.” Permintaanku mengeruhkan wajahnya. Keluhan Zafran kedengaran.

“Nak balik dah? Boleh kita berbincang dulu?” aduh..bincang apalagi ni. Muak rasanya menceritakan kisah silam berulang-ulang.

“Bincang apa?” aku membalas kasar.

“Tentang kita...”

“Tentang kita?”

“Tentang apa yang berlaku empat tahun dulu. Tentang kewujudan Rayyan Haziq yang awak sembunyikan. Dan tentang apa yang pernah berlaku antara awak dan Hazlami.” Aku duduk di hadapannya.

“Tentang kecurangan seorang isteri. Begitu? Tentang seorang suami yang tak mampu membela isterinya? Begitu? Ataupun tentang seorang isteri yang diceraikan membabi buta? Begitukah?” mataku memancarkan amarah. Zafran meraup wajahnya.

“Ketika itu.....abang silap Sara. Abang terlalu cemburu. Abang tak tahu pun Sara terperangkap. Sebab masa tu, Sara ditangkap khalwat. Abang ingatkan.......Sara dengan Hazlami...”suaranya sebak tiba-tiba. Dan yang membuatkan aku sedikit terkedu di situ adalah gelaran ‘abang’ yang telah kembali di bibirnya.

“Ingatkan apanya?! Ingatkan saya ni perempuan curang? Sanggup meniduri lelaki lain? Itu yang awak fikirkan bukan?!” aku menengkingnya. Zafran sendiri tahu aku bagaimana. Memang amarahku mudah merasuk akal. Zafran masih tenang di situ.

“Sara..jangan marah abang. Kita masih boleh betulkan apa yang tak betul empat tahun dulu.” Ayatnya mirip sekali dengan ayat Kak Marissa. Tapi malang sekali, ayat yang aku tunggu keluar dari bibirnya masih belum terucap.

“Nak betulkan apa? Kita dah tak ada apa-apa hubungan. Kita dah cerai. Dan bukan itu yang saya pinta dari awak dulu. Saya minta kepercayaan. Saya minta pembelaan. Saya tak bersalah.” Suaraku kini kendur. Aku semakin merasai kesedihan empat tahun lalu. Ya, kesedihan itu kembali lagi di dalam jiwaku. Hari ini. Dihadapannya.

“Abang minta maaf Sara......”ayat itu terucap jua. Aku terkedu. Zafran merendahkan egonya? Dia meminta kemaafan dari aku? Bukan akukah yang menuturkannya? Rasa tidak percaya sungguh kuat menyelubungi hatiku. Airmataku ibarat sungai yang mengalir tatkala mendengar ucapan maaf dari bibirnya

“Maaf abang tak boleh ubah apa-apa. Tiada apa yang boleh diperbetulkan.”

“Sara maafkan abang kan?”

“Dah tentu Sara maafkan abang. Walaupun abang layan Sara macam orang bodoh dalam rumah tu selama sebulan. Sebulan Sara hidup dalam rumah tu dengan abang, abang hukum Sara..abang langsung tak nak dengar penjelasan Sara. Abang ungkit setiap perbuatan abang untuk Sara. Abang sendiri akui abang tak ikhlas mencintai Sara...abang sendiri katakan pada Sara abang cintakan Hayati.....” aku mengungkit kembali dalam tangisan.

“Abang bohong sayang....abang bohong Sara kerana hati abang terlalu sakit masa tu... Semua tu tak betul sebenarnya. Abang minta maaf Sara..” lirih suaranya memohon kemaafan sekali lagi.

“Sudahlah abang. Sara maafkan abang. Sara pun bukannya suka ungkit tentang masa silam. Oh ya, tentang soalan abang berkaitan Haziq, Sara rasa abang pun tahu jawapannya..”aku menyeka airmata.

“Abang rasa abang tak tahu jawapannya..” keningku terangkat sebelah. Tak tahu?

“Sara bukan tak nak bagitahu tentang Haziq masa tu, tapi sebenarnya Sara sendiri pun tak tahu Sara ketika itu hamil 4 bulan lebih. Sara tahu pun lepas 2 minggu abang melafazkan talak buat Sara. Dan lepastu, Sara nekad untuk ke luar negara. Abang pun seakan tak perlukan Sara lagi waktu tu. Raisya pula ada abang sebagai ayahnya. Sara yakin Raisya mampu untuk jadi anak yang solehah dalam didikan abang. Haziq pula, bukan Sara sembunyikan, tapi Sara terlalu malu untuk balik ke Malaysia. Malu dengan semua orang sebab mereka tak tahu cerita yang sebenarnya.” Panjang lebar aku bercerita melepaskan lelah di lubuk hati ini. Segala kekecewaan kini terlerai sudah. Rasanya, aku akan lebih tenang memulakan hidup baru selepas ini.

“Sara...abang tahu Hazlami dan Hayati sengaja perangkap kita. Hayati tahu abang kuat cemburu. Sebab tu, untuk memiliki abang, dia dan Hazlami berpakat kenakan kita.” Aku sudah lama tahu semua itu angkara mereka. Zafran yang terburu-buru membuat keputusan sehingga semuanya berakhir begini.

“Sara tahu pasal semua tu. Abang, kalau boleh Sara nak jumpa Raisya lagi lepas ni. Abang tak menghalang kan?” Zafran menggeleng perlahan sambil tersenyum nipis.

“Abang tak menghalang. Sara pun selalulah datang sini. Abang nak jumpa Haziq jugak.” Aku tersenyum bersama dengannya.

“Sara balik dululah abang. Bilik Haziq dekat mana ya?” keadaan tenang seperti ini yang aku idam-idamkan. Segala dendam, amarah sudah hilang. Yang ada kini adalah kedamaian dan keharmonian antara aku dan Zafran.

“Sara.......”Zafran mengetap bibirnya. Aku mengangkat kening. Pelik dengan caranya yang tiba-tiba gagap denganku.

“Sssara....”dadanya berombak kencang. Keadaannya sama seperti mahu melamarku dahulu. Tapi, ahh...aku yang perasan sendiri. Dia sendiri pun mungkin tidak lagi mencintaiku.

“Ya abang...kenapa ni?” tiba-tiba dia memegang erat tanganku. Matanya merenung mataku. Aku melarikan mata ini ke arah lain. Tanganku cuba aku lepaskan namun genggaman tangannya terlalu erat.

“Sudi tak Sara menjadi suri dalam hidup abang untuk kali ke-dua? Abang tak mampu untuk berpisah dengan Sara lagi. Selepas empat tahun kita berjauhan, abang sedar, hanya Sara di hati abang. Abang takkan mampu untuk menggantikan Sara. Tidak Hayati dan tidak pula orang lain. Sudi tak?” aku terkedu. Aku tahu jauh di lubuk hati aku juga masih mencintainya.

“Abang janji abang akan percayakan Sara lepas ni?” Zafran tersenyum dan mengangguk yakin.

“Abang janji. Abang takkan jadi bodoh macam dulu. Bertindak mengikut hati.” Aku tersenyum memandangnya dengan pengakuan janjinya itu.

“Kalau macam tu, Sara sudi jadi isteri abang.” Zafran tersenyum suka.

“Terima kasih Sara. Terima kasih banyak-banyak kerana beri peluang kedua buat abang.” Aku melihatnya sambil tersipu malu. Zafran juga tersenyum. Terima kasih tuhan kerana beri kebahagiaan ini sekali lagi. Kita sekali lagi bersama mengharungi hidup ini, Zafran. Cintaku untuk Zafran masih segar seperti dulu. Terima kasih juga tuhan kerana tidak memadamkan cinta Zafran untukku.

No comments:

Post a Comment